Saturday, July 17, 2010

ENTRI KEENAM - PERTANDINGAN BLOGGING 2010

PERNIKAHAN ORANG MELAYU


Sebelum berkahwin haruslah Akad Nikah.

Akad Nikah adalah satu acara yang PALING penting dalam perkahwinan masyarakat Melayu yang rata-ratanya beragama Islam. Ia bukan sebarang adat tetapi ia melebihi kepada ajaran agama dan merupakan kemuncak kesahihan sesuatu perkahwinan. Selepas, segala perjanjian yang dikenakan kepada pihak lelaki telah dilaksanakan seperti wang belanja, mas kahwin dan barang lain yang disetujuhi oleh kedua pihak perempuan dan lelaki.

Akad Nikah boleh diadakan di masjid, di pejabat kadi, atau pun di rumah pengantin perempuan. Ia dijalankan oleh seorang Tok Kadi atau Imam. Di dalam upacara tersebut, bapa kepada pengantin perempuan akan menjadi wali untuk pernikahan ankanya. Walau bagaimana pun, dia boleh juga mewakilkannya kepada Tok Kadi atau Imam.

Pada hari pernikahan tersebut, pengantin lelaki akan mengenakan baju melayu berwarna cerah dan majlis diadakan menyerupai majlis pertunangan. Lazimnya sementara menanti kedatangan rombongan pengantin lelaki, majlis pukulan kompang akan diadakan. Sebelum upacara dijalankan, wang belanja, mas kahwin dan lain-lain hantaran akan diperiksa oleh tuan kadi dan dua orang saksi bagi pihak perempuan.

Apabila si pengantin lelaki tiba, dia akan duduk di atas sebidang tikar di tengah-tengah majlis. Tok imam atau tok kadi akan menemui pengantin perempuan di dalam bilik untuk bertanyakan samada dia bersetuju atau tidak dengan pernikahan itu. Tok kadi juga akan membacakan khutbah nikah dan menerangkan secara umum akan tanggung jawab suami isteri dan lain-lain hal berkaitan rumahtangga dari sudut agama. Selepas itu, tok kadi atau imam akan membacakan lafaz nikah sambil berjabat tangan dengan pengantin lelaki dan pengantin lelaki dikehendaki mengulangnya sebaik sahaja tok imam menggoncangkan tangannya.

Lafaz nikah berbunyi : "Aku nikahkan dikau(nama pengantin perempuan) dengan mas kahwin sebanyak (jumlah) tunai"
Pengantin lelaki dengan lafaz berbunyi : "Aku terima nikahnya..(sama seperti yang dilafazkan oleh tok kadi)".

Saksi akan mengesahkan samada lafaz tersebut jelas didengar atau tidak, sekiranya tidak jelas, pengantin lelaki tersebut akan mengulangnya sehingga saksi tersebut berpuas hati. Doa selamat akan dibaca sejurus selepas itu sebagai tanda kesyukuran kerana kedua-dua mempelai telah selamat diijabkabul.

Selepas pengucapannya, si suami akan membatalkan air sembayangnya dan menyarungkan cincin atau memakaikan rantai kepada isterinya yang menanti di dalam bilik. Adat ini dilakukan sebagai satu simbol bahawa pasangan tersebut telah sah diijabkabulkan. Selepas itu adat berinai akan dijalankan di mana kedua mempelai ditepung tawar. Wakil kedua-dua pihak akan menjalankan adat tepung tawar ini dengan cara mencalitkan sedikit inai dan air tepung tawar ke tapak tangan pengantin. Beras kunyit dan bertih tadi pula ditabur di hadapan pengantin dan juga kepada para hadirin. Bunga telur akan diberi kepada mereka yang menepung tawar. Jumlah orang yang menepung tawar lazimnya dalam bilangan ganjil.

Dari sini sahaja dapat saya kongiskan ilmu yang telah saya dapat mengenai adat Pernikahan Orang Melayu!

0 comments: